Showing posts with label Lauk. Show all posts
Showing posts with label Lauk. Show all posts

Saturday, July 28, 2012

Resepi Sup Daging

Sup daging untuk berbuka 2 hari lepas, dah siap masak rajin pulak amik gambar. Simpan resepi kat sini. Sebab kadang2 buat tu bertukar2 je resepinya terutama bila guna sup bunjut atau rempah yang lain. Ini guna rempah sup. Basic sup je tapi masak guna periuk tekanan. Makan dengan sambal kicap dan ikan masin. Memang bertambah! ;D

Sup Daging
Bahan-bahan,
  • 300g daging potong 4 segi 
  • 1 biji bawang besar
  • 3 biji bawang putih
  • 1/2 inci halia
  • 2 sudu serbuk rempah sup
  • Kentang dan carrot
  • Daun sup dan bawang goreng
Cara-cara, 
  • Kisar bawang besar, putih dan halia
  • Tumis bahan kisar dengan sedikit minyak hingga berbau
  • Bancuh rempah sup dengan sedikit air dan tumis sekali 
  • Masukkan daging, kentang dan carrot. 
  • Tutup periuk tekanan dan tunggu hingga masak lebih kurang 20 minit. 
  • Sedia dihidang dengan daun sup dan bawang goreng. 
Tiga hari ni cuaca dah makin panas, malam pun suhu mencecah 30C, kami baru hari ni on aircond. Nak keluar rumah pun kemalasan. Alhamdulillah semalam kami mendapat jemputan berbuka di rumah Aki dan Ami bersekali jumpa dengan blogger Umie Saitama. Lupa betul nak bergambar. InsyaAllah panjang umur bertemu lagi nanti. :-)

Monday, July 16, 2012

Nasi impit, rendang dan kuah kacang

Hari ni Jepun cuti sempena Umi no hi. (Hari Laut/Ocean Day). Ok sape2 nama Umi tu dalam bahasa Jepun maksudnya Laut. :D. Hari Sabtu lepas seluruh pantai baru di buka untuk orang ramai bermandi manda. Semalam kami pergi mandi laut jugak, seronok sebab semalam cuaca tak panas.

Hari ni ada kawan Jepun mama nak datang dari Fukushima, sementara tunggu kawan tu datang mama update kejap. Menu nasi impit, rendang daging dan kuah kacang ni buat Jumaat lepas. hehe.. dah amik gambar saja la letak. Hari ni masak nasi lemak dan kuih cek mek molek untuk hidangan tetamu. Sebelum ni dah janji nak masakkan nasi lemak untuk dia. Ok tetamu dah sampai! :)

Friday, July 13, 2012

Gulai Tempoyak Ikan Buri

Memandangkan stok tempoyak masih ada dan fresh lagi, saya buat gulai tempoyak ni. Banyak jugak bahan mentah fresh dapat dari Malaysia tempohari, termasuk lada cili, petai, daun pisang, daun pandan, serai, lengkuas, kunyit dan tempoyak ni. Biasanya gulai tempoyak orang guna ikan sungai, kalau di Pahang paling popular sudah tentu patin tempoyak. Tapi sayangnya saya tak boleh makan ikan patin, husband pulak tak makan tempoyak. Lauk ni saya makan sorang2 je. ;)

Resepi ni dari mak mertua. Saya call mak mertua nak dapatkan resepi gulai tempoyak ni sebab kalau balik kampung Temerloh boleh kata selang 2 hari rumah Tok Aki dan Wan masak gulai patin tempoyak. Tapi saya dapat tengok je. hikhik.. Teringin nak buat sendiri tu yang mintak resepi dari mak tapi ni saya guna ikan Buri/Hamachi. Ikan ni tak tau nama dia dalam bahasa melayu, tapi dalam english dipanggil Japanese Amberjack atauYellowtail, ikan ni banyak terdapat di Lautan Pasific. Rasa ikan laut dalam ni memang sedap, harga agak mahal juga. Kalau di sini dijual dah siap potong dan packing.  Selain tu saya makan bersama dengan sambal tempoyak dan ulam petai. Memang sedap sangat! :D

Gulai Tempoyak Ikan Buri
Bahan-bahan
  • Ikan Buri 2 slice
  • 7 biji lada cili
  • 1 inci kunyit hidup
  • 1 batang serai (dititik)
  • 1 cawan air
  • 2 sudu besar tempoyak (kalau nak kuah pekat tambah lagi)
  • Sedikit gula dan garam
Cara-cara
  • Tumbuk cili api dan kunyit
  • Masukkan dalam periuk bersama air, tempoyak dan serai
  • Kacau hingga mendidih, masukkan ikan
  • Perasakan dengan garam dan gula
  • Tunggu hingga ikan masak dan sedia dihidang

Tuesday, April 24, 2012

Ayam Sambal Siam


Inilah lauk yang dimakan bersama nasi limau purut semalam. Percubaan membuat ayam sambal siam. Memang kene sangat dan sedap! Dan rasanya pertama kali masak ayam letak belacan. hehe.. Tapi memang rasanya lain dari masakan lain. Saya guna cili serbuk dalam 1 sudu kecil je, sebab orang dalam rumah tak makan pedas. Masakan ayam yang harus dicuba kalau dah takde idea nak masak apa. Saya ikut kak Nieza yang makan nasi limau purut dengan ayam ni. Terima kasih kak Nieza, kak Amie dan tuan punya resepi asal. ;)

Resepi: Ayam Sambal Siam
Sumber Resepi: Hidangan Kegemaran Dari Dapur Tunku

Bahan-bahan:
500 gram ayam
150ml santan
2 sudu besar kerisik
6 helai daun limau purut
minyak
garam 
gula

Bahan kisar:
2cm kunyit hidup
2cm halia
6 ulas bawang merah
20 biji cili kering
3 batang serai
4cm lengkuas
3cm belacan

Bahan hias:
2 helai daun limau purut dihiris- hiris
sedikit bawang putih goreng

Cara:
1. Panaskan minyak masak di dalam kuali.
2. Tumis bahan-bahan yang dikisar sehingga wangi.
3. Masukkan ayam dan kacau rata sehingga masak.
4. Masukkan santan dan kerisik dan biarkan mendidih.
5. Perasakan dengan garam dan gula secukupnya.
6. Apabila kuah hampir kering, masukkan daun limau purut.
7. Angkat dan hidangkan bersama hiasan hirisan daun limau purut dan bawang putih goreng.

Baru ada nampak warna hijau sikit. Gambar dari angel berlainan. ;)

Monday, March 26, 2012

Ayam Halia

Alhamdulillah akhirnya saya jumpa jugak resepi ayam ni. Dah lama saya cari resepi ayam masak macam ni tapi nama tak tahu, macam ayam black paper tapi tak pekat macam ni. Suka sangat jumpa resepi ni. Terima kasih Sue@nenie yang mencuba resepi ayam ni dan share resepinya. Resepi asal dari buku masakan Chef Hanieliza. Terima kasih chef! Harus simpan resepi kat sini, senang buat rujukan sendiri nanti. ;)

Sumber: Sue@nenie dari buku masakan Chef Hanieliza
BAHAN-BAHAN
  • 250 gm ayam
  • 1/2 s.teh tepung jagung (dibancuh dengan 1/4 cawan air)
  • 1/2 s.teh serbuk lada hitam
  • 1 pokok daun bawang
  • 1/2 biji tomato (potong baji)
  • 1 sb minyak masak
  • garam secukup rasa
Bahan-B (dihiris) *saya blend 
  • 1 1/2 inch halia
  • 2 ulas bawang merah
  • 1 ulas bawang putih
  • 2 biji cili merah
PENYEDIAANNYA
  1. Panaskan minyak dan tumiskan bahan yang dihiris sehingga layu.
  2. Masukkan ayam dan kacau rata.Kemudian masukkan sedikit air
  3. Masakkan ayam sehingga lembut
  4. Masukkan bancuhan tepung jagung, sos tiram, serbuk lada hitam dan garam.Biarkan sehingga pekat.
  5. Masukkan tomato dan daun bawang dan kacau rata.
  6. Sedia di hidang
*Bahan B tu saya blend semua sebab anak2 makan memilih nnti, bila hancur semua diorang makan. Cili merah saya tak letak. ;)
Sepanjang duduk Jepun pertama kali jumpa ikan pari (ada kot tempat lain) minggu lepas, teruja pulak terus beli, dah selamat buat asam pedas. Saya makan sorang, papanya tak makan pulak, rasa dia tak berapa sedap macam ada hanyir2 gitu, ikan pari mmg ada rasa gitu eh! (saya tak pernah masak pari, selalu makan mak masak tp sedap je) :D

Tuesday, January 10, 2012

Kani@ketam

Musim sejuk ni ada pulak ketam keluar. Lama tak makan ketam, boleh kira dengan jari membeli ketam kat sini. Act. bukan ketam biasa yang comel2 macam kat Msia tapi yang ni jenis king crab atau dipanggil tarabagani. Ketam ni dari Hokkaido, harga memang agak kemahalan. Nampak kecik tapi act. besar ni. Memang puas makan macam tu je. Jumpa ni dekat supa(supermarket) berdekatan rumah, jarang ada, kalau ada pun ikut musim. Dah nampak tu terus je ambil, paket ni size dia sebesar sinki, sebab letak kat sinki rumah kami pun tak muat. Kami beli ni dah siap2 rebus. Plan asal nak buat masak lemak, tapi tak menyempat, balik rumah terus rebuskan sikit dan makan macam tu je. Memang syok dan kenyang. Isinya sangat tebal dan manis, papa tak berapa suka makan ketam sebab katanya tak berbaloi, hehe.. nak buang kulit bukan main lama. Tapi yang ni semua mama tolong buang kulit dan hidang isi je untuk papa dan anak2 makan. Sangat puas hati makan jenis tarabagani ni. Sekali sekala makan tak kisah la kan. Kat Msia mungkin susah sikit nak jumpa jenis ni yang fresh. Memang puas hati berbaloi dengan harganya. :D

Thursday, December 15, 2011

Meatloaf Recipe

Masih tak sempat nak karang cerita panjang. Layan resepi dulu. Kali ni meatloaf pulak yang sememangnya sedap dan mudah. Sesuai untuk dibuat bekal anak2 ke sekolah dan makan dengan nasi serta salad. Sensei punya baik hati, sebab kami tak dapat makan meatloaf masa Christmas Party, hari Selasa tu dia datang rumah masakkan untuk kami guna daging halal. TQ sensei. Iye actually bz sebab beberapa hari ni ada tetamu berkunjung, dengan rajinnya saya main masak2 untuk menjamu tetamu. hehe.. selain main wii ngeh2..


Meatloaf Resepi
Sumber: Yoshiko Sensei
Bahan2.
  • 500g daging
  • 1 cawan breadcrumb
  • 1 biji bawang holland
  • 1 biji telur
  • sedikit garam dan pepper
  • 1 sudu besar sos tomato
  • 1 sudu besar worcester sauce
Cara2, 
  • Bawang dipotong dan diblend kasar
  • Daging dipotong kiub dan blend hingga hancur
  • Campurkan kedua bahan, dan gaul sebati.
  • Masukkan telur dan semua bahan2 lain, gaul sebati
  • Gaul lebih kurang 5 minit hingga bahan benar2 sebati 
  • Bentukkan seperti silinder (bulat dan memanjang~ loaf) 
  • Kalau susah dibentuk tambahkan breadcrumb
  • Letak atas nonstick pan dan tutup, biar beberapa minit untuk masak
  • Bukak tutup pan dan terbalikkan. Tunggu hingga benar2 masak baru keluarkan. 
  • Atau boleh juga letak dalam oven bakar 180C selama 40 minit atau hingga masak. 
  • Sedia dihidang bersama sos kegemaran dan hiaskan dengan daun parsley. 

Wednesday, December 14, 2011

Christmas Tree..


Pokok krismas untuk dimakan. Aktiviti hari Isnin lepas, Christmas Party di kelas masak2. Mudah dan sedap dimakan. :D Cuma guna mashed potato dan dihias dengan brocoli serta tomato. Sugoi!

Resepi.
  • 4 biji kentang
  • 2 sudu mayonis
  • sedikit garam
  • sedikit lada hitam
  • Brocolli (direbus dan tos)
  • Tomato
Cara2. 
  • Rebus kentang hingga empuk
  • Lecek halus
  • Campur mayonis, garam dan lada hitam
  • Bentuikkan kon seperti pokok krismas
  • Hias dengan brocolli dan tomato.
  • Sedia dimakan. 
*masih kebizian. ;-)

Sunday, November 20, 2011

Daging Salai Masak Lemak Cili Api

Tajuk kemain panjang, tapi bahan nak buat mudah sangat. Lauk daging salai ni special sebab diimport khas dari Malaysia. Minggu lepas mak mertua pos daging yang dah siap di salai, husband ada join korban kat kampung, jadi mak mertua pos sikit bagi merasa. Ada juga pos rendang daging dan daging masak hitam. Best dapat jugak dapat makan daging yang ala2 fresh. hehe..Alhamdulillah lepas jugak pos makanan yang siap di masak dari Malaysia. Daging pun elok lagi cuma yang salai tu ada sikit cendawan tapi saya cuci bersih dan salai balik. Ini pertama kali masak daging salai masak lemak. Antara resepi yang mudah dibuat. :D

Bahan2,
  • 1/2 kilo daging
  • 1 tin santan 
  • 1 batang serai
  • 2 keping asam keping
  • 1 inci kunyit hidup
  • 5 biji cili burung
  • 1 biji kecil bawang merah
  • Sedikit garam dan gula
  • 1 sudu kerisik
  • Kacang panjang
Cara2, 
  • Daging dipotong nipis dan salaikan separuh masak
  • Bawang merah, cili burung dan kunyit ditumbuk halus
  • Masukkan santan, bahan tumbuk dan daging dalam periuk
  • Tutup periuk dan rebus seketika hingga daging masak
  • Masukkan asam keping, perasa, kerisik dan pati santan
  • Biarkan renih seketika dan akhir sekali masukkan kacang panjang. 
  • *kalau di sini santan dalam tin akan beku jadi ambil air bawahnya untuk rebusan pertama, dah empuk daging baru masuk pati santan yang keras bahagian atas. :D
Oh ye lagi satu nak ucap ribuan terima kasih kat Kamalia yang berbesar hati mengirimkan 2kg daging lembut dari Iwate tempohari. Ngam2 sampai sebelum raya Haji tempohari, sempat jugaklah masak sikit. Daging korban katanya. hehe..Alhamdulillah, moga makin dimurahkan rezeki. Kalau dtg sini jgn lupa bawak daging lagi ye. hihi..:D 

Saturday, October 22, 2011

Resepi Soto dan Sate

Jamuan makan2, buat soto mee, nasi impit dan sate. Resepi soto ikut belakang paket rempah soto. Bahan2 lain bergedil kentang, suhun, taugeh, kacang dan sambal kicap.

Nasi impit (ctma myresepi)
  • 3 cawan beras
  • 8 cawan air
  • 1 helai daun pandan
Cara-cara.
  • Masak nasi ikut sukatan air berkenaan
  • Dah masak masukkan dalam plastik ziplock dan mampatkan.
Bergedil kentang,
Bahan2.
  • 5 biji kentang
  • 3 sudu besar tepung ubi
  • sedikit garam
  • 1 biji telor
Cara2, 
  • Rebus kentang hingga empuk
  • Tos dan lecek2kan.
  • Gaul bersama tepung ubi dan garam
  • Bulat2kan dan salutkan dengan telor sebelum digoreng.
Sambal kicap
Bahan2.
  • 15 biji cili burung
  • 3 biji bawang putih
  • 3 sudu besar gula
  • kicap secukupnya
Cara-cara,
  • Blend cili, bawang putih dan gula hingga hancur
  • Gaul bersama kicap. 
Sate daging yang nampak kering sebab goreng dulu baru bakar. Ada juga buat pie apple bakar. Musim apple dah hampir penghujung, harga pun sedikit murah. :-)

Resepi Sate (resepi disalin dalam buku, link asal tak ingat, maaf tuan punya resepi)
Bahan2,

  • 1 kilo daging/ayam
  • 3 biji bawang besar
  • 5 ulas bawang putih
  • 2 inci lengkuas
  • 5cm halia
  • 5cm kunyit hidup
  • 2 batang serai
  • 2 sudu besar ketumbar
  • 1 sudu besar jintan halus
  • 1 sudu besar jintan kasar
  • 10 sudu besar gula
  • 200g gula merah
  • 2 sudu kecil garam
  • 4 sudu besar minyak masak
  • 4 biji limau sambal
Cara-cara, 
  • Mesin semua bahan kecuali daging dan limau sambal
  • Perapkan bersama daging
  • Perahkan limau dan perap semalaman

Thursday, August 25, 2011

Ahmed Lamb Curry

Lamb! Act. kat rumah ni tak pernah sekali pun beli lamb, sebab en. asben tak makan kamben (ikut perut asben lagi ye! hehe..) Alhamdulillah rezeki ada orang bagi yang belum masak, 2 kg lagi. huhu.. aii sorang je yang makan. Berapa bulan la baru boleh habis 2kg ni. Masak dalam 3 ketul je. Lagi sekilo tu yang siap potong untuk buat lamb chop. Wow! itu sedap sangat makan bakar camtu. En. asben jeling2 je tengok aii makan haritu, teringin la tu, tapi cian takleh makan. Terpaksa bakar daging jugak untuk dia supaya tak terliur sangat. haha..
Oh ye yang ni cuba buat kari. Kali ni guna kari jenama Ahmed yang selalu kedai2 Muslim kat sini gunakan. Memang sedap lain dari kari Malaysia. Bahan pun senang. Ikut resepi kat dalam paket kari tu, bahannya cuma minyak sapi, tomato, bawang besar dan yogurt. Senang, cepat dan memang sedap! sama rasa macam kat kedai2 muslim makan dengan roti tu.  Act. dah selalu masak jugak guna ayam, tapi kali ni cuba guna lamb, sekali sekala makan lamb haruslah bergambar. hehe.. Antara chicken chop dan lamb chop pasti saya akan pilih lamb chop. ;D

Wednesday, August 17, 2011

Iftar ke 16 - Sotong goreng tepung, Asam Pedas, Kuih Puteri Ayu

Teruja dengan sotong ni, hehe. sebab pertama kali kot kejadian sotong goreng tepung nampak sotongnya. Masa goreng pun takde la letup2, tak payah rebus pun, rugi pulak kalau rebus khasiat dah kurang. Dah tau dah macamana supaya gorengan jadi macam ni, tak payah bancuh tepung dengan air. Lepas bersihkan sotong tu keringkan sikit dan tabur tepung rata2 atas sotong. Sedang elok la sotong tu bersalut tepung dan goreng. Bancuhan tepung tu letak serbuk kari sikit, serbuk kunyit dan garam. Budak2 pun suka sebab senang makan, diorang tak berapa suka bila tepung penuh kat sotong. Masih elok pulak tu disimpan hingga tengahari tadi. Buat lunch budak2.
Alang2 ambil gambar sotong kita ambil jugaklah gambar asam pedas ikan Iinada nih. Sedap tau ikan ni tak bertulang, beli yang dah siap potong. Supa(pasaraya) kat nihon ni banyak ikan dah siap2 potong buang tulang, isi saje. so memang senang di masak.
Kuih pulak buat puteri ayu, dah agak banyak kali jugak buat. Acuan ada jadi takdelah acuan tu duk diam2 je dalam lemari. :D. Resepi penah buat kat sini. Nampak macam kedekut kelapa ek! hehe.. budak2 ni tak makan kelapa, tu yg letak sikit je,  kalau makan mesti buang bawah, rugi kelapa aii! Kuih ni pun turut dibawa moreh lepas terawih. Alhamdulillah.. dah separuh bulan kita berpuasa. Moga amalan2 kita berterusan dan diberkati. InsyaAllah..

Monday, August 15, 2011

Ayam Bakar Berempah

Macam pelik pulak rupa ayam tu. hehe.. Lauk yang mudah untuk dibuat. Ayam bakar, tak perlu penat2 memasak atas kuali, cuma sediakan rencah, perap dan bakar, tunggu je sambil siap2 makanan yang lain. Menu iftar ke 14 semalam ayam bakar, kuah dhal daging, sambal, keropok dan popia basah. Resepi ayam bakar ni ikut rasa sendiri je letak bahan yang ada. Bila dah hari2 memasak kadang kita dah tau apa nak letak ye dak. hehe..

Bahan,

  • 1 ekor ayam
  • 1 biji bawang besar
  • 3 biji bawang putih
  • 1/2 inci halia
  • 1 sudu jintan manis
  • 1 sudu jintan putih
  • 1 sudu kicap
  • 1 sudu rempah kurma
  • 1 sudu rempah kari
  • garam dan gula
Cara2,
  • Bawang dan halia dikisar halus
  • Perap semua bahan dengan ayam selama 1/2 jam
  • Bakar pada suhu 180C selama sejam atau hingga masak. 

Wednesday, August 10, 2011

Iftar ke 9 - Nasi Oren dan Ayam Bakar Percik Express

Masakan express petang semalam. Jam dah pukul 5:15 masih tak tau nak masak apa, padahal berbuka jam 6:40. Habis je borak kat tepon ngan Kamalia laju2 potong ayam, kupas bawang dan blend. Dalam hati tak tau lagi nak masak apa nih. haha.. Terus je rasa nak buat nasi berperisa sebab resepi lebih kurang je cuma tambah je perisa yang kita nak, kari ke, daging ke, ayam ke kan. Lagi satu tak payah nak masak sayur cuma nasik dan ayam je. Eh sebelum masak nasik sempat lg buah inti popia. (nasib baik ayam dan popia mmg dah keluar awal) Tumis bahan dalam rice cooker terus dan masak. Lepas masak nasi gulung popia laju2. Inti popia pun guna sayur campur, kentang dan sosej paling cepat. Plan awal nak buat popia Anum tp tak sempat nak defrost isi ayam. Nanti aii buat. :D

Masak ayam paling best, dah tumis bawang semua (guna bawang blend yg sama mcm nasik) pun tak tau lagi nak masak apa nih. Masak ayam dalam kuali campur dengan rempah kurma dan rempah soto. Tutup kuali biar ayam cepat masak, dah masak keluarkan dan bakar sekejap, jadiklah ayam bakar dan kuah percik. (pepandai je bagi nama). Tapi sedap dan menjadi, kalau nak cuba pun boleh. :D hehe.. sambil tu potong timun, carrot dan bawang untuk acar mentah dan goreng popia. Nasik tu masa dah masak baru letak perasa oren (guna pati oren jenama double lion), gaul sekejap mmg wangi sangat bau oren tu. Alhamdulillah dapat berbuka tepat pada masanya. :D. Resepi masakan express.

Nasi Oren,
Bahan2,
  • 4 cawan beras
  • 1 biji bawang besar -blend
  • 2 biji bawang putih -blend
  • 1/2 inci halia -blend
  • Rempah tumis campuran (kulit kayu manis,buah pelaga, bunga lawang dan cengkih)
  • 1 sudu serbuk kunyit
  • Garam
  • Kismis
  • 3 sudu besar pati oren
  • Air ikut sukatan beras
Cara2,
  • Tumis rempah campuran gunakan minyak sapi (butter pun boleh)
  • Masukkan bahan blend, tumis hingga kekuningan
  • Masukkan kismis, beras dan air. Kacau sebati
  • Masukkan serbuk kunyit dan gaul sebati. Masakkan ia.
  • Bila nasi dah masak masukkan pati oren dan gaul sebati.
Ayam Bakar Percik
Bahan-bahan,
  • 1 ekor ayam
  • 1 biji bawang besar
  • 3 biji bawang putih
  • 1/2 inci halia
  • Rempah halba campuran
  • 1 sudu besar rempah kurma
  • 1 sudu besar rempah soto
  • Garam, gula dan sedikit air asam jawa
Cara2,
  • Tumis rempah halba campuran dan bahan blend (bawang besar, bawang putih dan halia)
  • Masukkan rempah kurma dan rempah soto
  • Masukkan ayam gaul sebati dan sedikit air
  • Masukkan perasa
  • Tutup kuali hingga ayam masak dan sedikit kering
  • Keluarkan ayam, bakar sebentar dalam oven hingga nmpak kering.
  • Keluarkan ayam curah baki kuah tadi atas ayam.
  • Sedia dimakan bersama nasi oren.
Acar mentah,
Bahan2,
  • 1 batang timun
  • 1 batang carrot
  • 1/2 biji bawang besar
  • 1 sudu kecil cuka
  • 1 sudu kecil gula
  • sedikit garam
Cara2,
  • Potong halus semua bahan
  • Gaul sebati dengan semua bahan perasa
  • Jika suka pedas letak cili merah yang dipotong..

Thursday, August 4, 2011

Menu Iftar hari ketiga- Rendang daging, Taufu fa Jepun

Untuk tatapan diri sendiri lauk apa masak waktu berbuka, boleh buat rujukan puasa akan datang. InsyaAllah. Papa request nak makan rendang daging. Suka bila ada orang request tak pening pala pikir nak masak apa. ;D. Resepi ni ikut resepi belakang paket rempah rendang adabi.
Sempat buat taufu fa. Ini paling simple, guna tauhu jepun yang sememangnya sangat lembut. Biasa guna jenis yang bulat silender tu, kali ni guna yang segiempat sebab nak expired kene habiskan. Resepi yang senang.

Bahan2,
  • Tauhu lembut (Tauhu Jepun) - dipotong
  • 1 cawan kurosato (gula merah)
  • 1 1/2 cawan air
  • 1 helai daun pandan
Cara2,
  • Masak atas api gula merah bersama air dan daun pandan hingga gula hancur
  • Masukkan tauhu yang telah dipotong
  • Renehkan seketika dan tutup api
  • Sedap dimakan ketika sejuk atau panas.
Seterusnya menu special dari my besties Azila, thank you so much dear! hehe.. datang jauh2 hantar sampai ke rumah untuk kasi aii rasa kuah kacang dhal yang sangat sedap nih.
Makan bersama roti canai. sedap! Menu lain ada buat jemput2 pisang campur kelapa, ikan kering dan taugeh ikan masin. Waktu berbuka hari ke empat jam 6.47 petang dan Imsak jam 3.04 pagi. Selamat memasak untuk berbuka petang nanti. ;)

Wednesday, August 3, 2011

Surat khabar Ultraman, Ikan sweat sour dan Murtabak segera

Jangan main2 Ultraman pun ada surat khabar tau. Pegi kombini, Haziq nampak terus dia amik. Peminat Ultraman no 1. Harga boleh tahan 250yen. Macam2 cerita dan perkembangan terkini ultraman ada dalam tu. hehe..
Menu berbuka semalam, masak ikan sweat sour, sup sayur, tahu bakar dan buat murtabak ringkas. Guna ikan Inada. Bahasa melayu tak pasti ikan apa. Dah potong kecik2, senang budak2 makan.
Murtabak segera, guna kulit popia. Intinya guna daging, kentang dan telor. :D

Bahan2,
  • 200g daging cincang (mincemeat)
  • 3 biji kentang (potong dadu)
  • 1 biji bawang besar (dikisar)
  • 2 biji bawang putih (dikisar)
  • 1/2 inci halia (dikisar)
  • 2 sudu serbuk kari
  • Perasa (sedikit air asam, garam dan gula)
  • 3 biji telor
  • Kulit Popia
Cara2,
  • Tumis bahan kisar dan serbuk kari hingga garing
  • Masukkan daging gaul sebati
  • Masukkan kentang, tumis hingga masak
  • Masukkan perasa dan sedikit air, masak hingga sedikit kering (Inti)
  • Pecahkan telor dalam inti dan gaul sebati
  • Sediakan kulit popia, tuang 2 sudu inti atas kulit popia
  • Lipat kulit popia 4 segi
  • Sapu sedikit minyak atas kuali leper atau non stick pan
  • Masak murtabak dan balik2kan hingga masak.
Selamat berbuka puasa buat semua. ;)

Sunday, May 29, 2011

Ikan Pekasam bersalut telor

Pandai tak makan ikan pekasam? Ini pun salah satu makanan yang menjadi pilihan orang dulu2. Tiap kali balik Pahang wajibla kami tempah dari pak sedara yang buat sendiri ikan ni. Mak dan abah saya suka makan ikan pekasam yang buat sendiri. Kalau diorang kirim memang berplastik2. :) Lagipun ikan sungai pahang yang digunakan segar2 belaka. Biasanya ikan ni digoreng kemudian ditabur dengan bawang, lada dan perahan asam limau tapi ramai je yang makan gitu je. Tapi resepi mak saya pulak ikan pekasam ni digoreng dan kemudian disalut dengan telor dadar. Rasanya sangat sedap! (eh2 makanan laut dan darat tak elok dicampur kan! ;p)

Tengok bahan untuk buat ikan pekasam ni senang je. Ikan sungai, garam, beras yang dikisar dan asam keping. Peramkan dalam peti sejuk (bukan bahagian beku) dan boleh la digoreng setelah diperam beberapa hari. Cara goreng pun dengan minyak yang sedikit dan api yang perlahan hingga garing. Rasanya ikan pekasam ni popular di Perak dan bahagian utara. Belah2 selatan ni macam kurang ada je. hehe.. Oh ye masa balik Msia tempohari ada singgah rumah Ros jintanmanis di negeri sembilan, dapat juga merasa ikan pekasam hasil tangan ayah Ros. Sedap dan pandai ayah Ros buat. Terima kasih banyak buat Ros sekeluarga. :) Ikan ni pun boleh tahan lama tapi kene simpan dalam peti sejuk dan dibungkus dengan elok. Sekali sekala pekena ikan pekasam ganti ikan masin pun sedap jugak kan! tapi tak boleh la makan selalu darah tinggi nanti mak kite kate. hehe..

*pssst.. aii dah register raacuun tu. berbaloi la kot bayar 830yen untuk sebulan dan 8 channel msia yang ada. hihi..

Friday, November 26, 2010

Sakhalin Surf Clam Gratin

Salah satu jenis makanan laut yang bercengkerang. Banyak terdapat di belah2 utara pantai Jepun terutama kepulauan Hokkaido. Lebih kurang macam oyster jugak. Test beli 3 ketui je. Rasanya lebih kurang makanan bercengkerang yang lain, cuma isinya yang tebal dan besar. Resepi gratin ni ikut resepi Ros jintanmanis lagi, tp ros guna oyster. Mekasih Ros share resepi. :) Buat ikut separuh sukatan. Rasanya memang sedap dan cheezy!

Bahan-bahannya

7 ketul tiram segar bersama cengkerangnya

1/2 cawan tepung gandum

4 sudu besar butter ( 2 sudu butter untuk saute, dan 2 sudu butter lagi untuk white souce)

sedikit mix cheese

sedikit parmesan cheese

1/2 cawan susu segar ( guna susu UHT ataupun bancuhan susu tepung pun buleh)

1/2 cawan air

2 sudu besar tomato ketchup

lada sulah

garam

sedikit daun dry pasley atau oregano

Cara-caranya

1. Keluarkan tiram dari cengkerangnya ( kukus dulu tiram tu) masukkan di dalam bekas, dan campurkan dengan sedikit lada sulah, garam dan salut dengan tepung gandum. Kemudian saute dgn butter dan biar agak perang. Angkat dan ketepikan.

2. Buat white sauce- menggunakan fry pan yang same, masukkan tepung gandum yang telah di campurkan dengan tomotao ketchup, 1/2 cawan air dan 1/2 cawan susu segar, kacau sebati dan biarkan agak pekat, baru masukkan lada sulah, garam dan butter. Kacau perlahan. Tutup api dan ketepikan.

3. Cengkerang tiram di basuh bersih dan sapukan sedikit butter, kemudian letakkan dlm 1/2 sudu white souce dan letakkan tiram yang di saute tadi, tutup tiram dengan 1/2 sudu white souce lagi, dan tabur pemukaan gratin dengan mix cheese dan parmesan cheese, akhir sekali taburkan dry pasley atau oregano. Ulang langkah tadi hingga tiram habis. Bakar pada suhu 180 darjah selama 30 hingga 35 minit atau sehingga permukaaan gratin perang.

Wednesday, November 24, 2010

Gulai Nangka dan Ayam

Dah lama nak makan nangka ni. Tengok kak hana ada beli nangka dalam tin, kita pun teringin. Kalau dapat nangka muda yg fresh mesti lagi sedap. Resepi ni mmg dah cukup sedap dah! Resepi kita tengok kat blog kak hana la. Mekasih ye kak share resepi yang sedap nih! Masak ni kita jemput adik2 makan. Ada yang ingat masak kari, hehe..

Bahan-bahan
  • 1 tin nangka muda dalam tin - toskan airnya kemudian basuh
  • Ayam - potong kecil @ kepak ayam @ kaki ayam
  • Santan Pekat
  • Air
  • *1 batang cili merah+cili padi @ 1 sudu besar cili kisar
  • *1/2 biji bawang besar @ 3 biji bawang merah
  • *2 ulas bawang putih
  • *1/2 inci kunyit hidop
  • 1 sudu besar serbuk kari ayam
  • 1/2 kiub ayam
  • 1 keping asam keping
  • 1 batang serai - ketuk
  • daun kari
  • garam dan gula
Cara-cara
  • Tumbuk bahan yang bertanda *.
  • Panaskan minyak. tumis hingga naik bau. Masukkan skali daun kari dan serai. Bancuh serbuk kari dengan sedikit air dan masukkan.
  • Masukkan pula ayam dan gaul rata. Masukkan kiub ayam dan sedikit air. Biarkan sehingga ayam setengah masak.
  • Masukkan pula nangka, asam keping, santan dan juga sedikit air.
  • Perasakan dengan garam dan gula. Didihkan hingga terbit minyak.
  • Angkat dan hidangkan.

Thursday, November 18, 2010

Ayam Bakar Lada hitam Mayonis

Ayam bakar yang sedap dan mudah. Resepi dari Ros Jintanmanis. Lupa pulak nak cover leher ayam tu. ekekeke.. Jemput makan..

Bahan-bahan,
1/2 ekor ayam ( bersihkan dan cucuk dengan garpu)
1 sudu kecil serbuk lada hitam
2 cm halia ( agak-agak je)
2 ulas bawang putih
1/4 biji bawang besar
1 sudu besar madu
1 sudu besar gula
1 sudu kecil kicap manis
1/2 sudu kecil garam
2 sudu besar mayonis
sedikit lada sulah

Caranya
1. Blender bawang besar, halia, bawang putih dengan sedikit air sehingga hancur, kemudian curah di dalam bekas dan campur gula, lada sulah, garam, kicap manis madu dan serbuk lada hitam.

2. masukkan ayam dan akhir sekali letakkan mayonis, gaul sebati dan perap di dalam peti ais selama 2 atau 3 jam, bakar pada suhu 190 darjah selama 40 minit atau satu jam, angkat dan sedia untuk dihidangkan panas-panas, Selamat Mencuba.

( kalau perap lagi lama lagi sedap ayam bakar ni, dan bakar biar perang sikit permukaan ayam tu)